Syair bermula salam diberi,
buat anakanda putera puteri,
kian dewasa muda bestari,
penyeri bonda bak bidadari.

Sungguh bahagia bonda rasakan,
anakanda disayang bonda suapkan,
makan dan minum bonda sediakan,
sepenuh kasih bonda besarkan.

Dakapan bonda rambut dibelai,
tandanya kasih sungguh bernilai,
di hati bonda penuhi damai,
apabila anakanda tersenyum santai.

Mesra bersama di mana saja,
dengan anakanda si comel manja,
akrab sentiasa berenggang tiada,
betapa bonda rasa bahagia.

Tika terpisah urusan tugas,
rindunya bonda tanpa terbatas,
khabar dikirim dapat dibalas,
tandanya sayang sentiasa ikhlas.

Andai anakanda jauh di mata,
di hati bonda rindunya nyata,
bonda berikan mutiara kata,
jadilah anak bagai permata.

Sebelum syair mengundur diri,
bonda hadiahkan senyum berseri,
jaga pekerti setiap hari,
akrabnya sayang di sanubari.

adyra Az-zahra

ADYRA AZ-ZAHRA
Kuala Lumpur, 29.07.2018