IRWAN menulis di media perdana sejak 1995 pada umur 44 tahun. Telah menyiarkan sajak, cerpen, dan artikel serta laporan kegiatan sastera di akhbar tempatan dan di majalah Dewan Sastera. Telah menulis sebuah novel berjudul “Meja 17” (Esastera Enterprise, Edisi 4, 2016). Memulakan gerakan E-sastera melalui portal e-Sastera.com sejak 2002. Pada Februari 2016, menubuhkan e-majalah di Facebook yang dinamai “E-Sastera @ Facebook” melalui grup “E-Sastera@Facebook Induk” dan grup-grup genre yang dipautkan ke grup induk itu.
Pada tahun 2010, Irwan mendaftarkan NGO bernama Persatuan Aktivis E-sastera Malaysia (ringkasnya E-SASTERA) dan menjadi Presiden persatuan itu sehingga kini. Dalam tahun 2016, menubuhkan Gabungan Komunitas Sastra Asean (GAKSA), dengan Irwan bertindak sebagai Ketua Penyelaras dan E-SASTERA sebagai Sekretariat). Juga menubuhkan World Association of Literary Communities (WALC) bersama George Manos dari Poesysite.com, USA. Kini gerakan e-sastera yang melibatkan Irwan beroperasi secara berdaftar di Asean melalui tiga syarikat komersial, iaitu Esastera Enterprise, Kuala Lumpur, E Sastra Management Enterprise, Jakarta, Indonesia, dan Gaksa Enterprise, Banten, Indonesia.
Irwan banyak menulis di alam siber. Di medium konvensional, kebanyakan sajak tulisan Irwan telah terkumpul dalam tiga buah buku, iaitu “Semelar” (Edisi kedua, kAPAS Enterprise, 2003), “Kuntom Ungu” (Esastera Enterprise, 2012), dan “Grafiti Hati” (Jakarta: E Sastra Management Enterprise, 2016).
Buku cetakan keras terbaharu Irwan ialah buku nonkreatif “E-sastera: Teori dan Aplikasi” (Esastera Enterprise, 2016) dan kumpulan cerpen “Rewang Minda” (Esastera Enterprise, 2016).
Dari segi profesional, Irwan berkelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal (BSc) dan kejuruteraan biomedikal (PhD). Beliau bertugas sebagai Pensyarah,Profesor Madya, dan Profesor di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur dari Ogos 1978. Beliau telah menubuhkan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan di UM (untuk menjalankan program sarjana muda “Kejuruteraan Bioperubatan”) serta kemudiannya bersama membangunkan program kedua di Jabatan itu, iaitu sarjana muda “Kejuruteraan Bioperubatan (Prostetik dan Ortotik)”. Di samping itu, kini beliau ialah Pengarah, BioApps Sdn Bhd, syarikat terbitan Universiti Malaya yang beroperasi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur dalam bidang perubatan prostetik dan ortotik – https://www.facebook.com/bioappsofficial/?fref=ts

IRWAN ABU BAKAR
Kuala Lumpur, 19.12.2016