Hadiah Duit Raya RM300 (Rp 1.0 juta):
Pertama: RM101.
Kedua: RM100.
Ketiga: RM99.

PENGANJUR
ESastera Enterprise.

SYARAT>
1. Tuliskan ulasan terhadap cereka berjudul “Sumpahan” yang disiarkan di bawah ini.
2. Hantarkan ulasan sdr kepada emel: eSastera@gmail.com.
3. Kepanjangan ulasan: Ikut selera.
4. Tarikh tutup: 20.6.2016.
5. Peserta dikehendaki menyiarkan butir-butir diri di grup facebook “E-Sastera Autoprofil” sebelum menghantarkan tulisan untuk sayembara ini.
6. Pemenang akan diumumkan dan hadiah diserahkan sebelum hari raya aidilfitri tahun ini.
7. Sila kemukakan sebarang pertanyaan kepada pengnjur dalam kotak komen pos ini.

PENUTUP
Terima kasih kepada ahli E-SASTERA yang bersedekah untuk hadiah sayembara ini.

YANG BENAR
Irwan Abu Bakar
b/p Esastera Enterprise.
——————–
Cereka Yang Perlu Diulas:

SUMPAHAN

Meja17-Sumpahan-Rajah

Alkisah, hiba Puteri Marinaramasturina genaplah enam purnama menjelangnya Jamadilakhir ini. Senuhun Tuan Pu¬teri Marinaramasturina bukannya gering tetapi keresahan melanda sanubari senuhun semenjak diwalimatuluruskan dengan Pute¬ra Joharatnamufasirinalmukhalis oleh Kadi Diraja negeri Mengernakutilangsari, negeri tempat memerintahnya Sultan Mukhlisaida¬nialimiat, ayahanda kepada Putera Joharat¬namufasirinalmukhalis.
“Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun. Demi memudahkan patik pacal yang hina-dina hina-lata hina-leta ini menyampaikan alkisah seterusnya, izinkan patik, pacal yang hina-dina hina-lata hina-leta ini, untuk menggunakan bahasa harian semasa milik patik pacal yang hina-dina hina-lata hina¬leta ini, serta menggunakan panggilan Putera Joe dan Puteri Mary sahaja untuk merujuk kepada senuhun anakanda dan menantu Tuanku Sultan Mukhlisaidanialimiat yang berdua itu. Ampun Tuanku.”
Hal ini tidak boleh berterusan lagi. Puteri Mary nekad. Sudah tidak dapat lagi dia menanggungnya. Sudah hampir enam bulan dia menjadi isteri office hours. Dari hari pertama perkahwinan mereka, dia dapat bersama-sama suami tercinta hanya selepas terbitnya mentari pagi dan sebelum terbenamnya mentari di petang hari. Bersama mereka bersuka, bercinta, dan menikmati keseronokan kehidupan dunia suami isteri dalam suasana bahagia selagi mentari bersinar di angkasa raya.
Apabila mentari mula membenamkan diri di ufuk barat, maka Putera Joe pastilah akan meminta diri untuk bersunyi-sunyian di bilik peribadinya. Entah apa yang dilakukan oleh suami tercintanya itu, tidaklah diketahui oleh Puteri Mary. Hendak dikatakan baginda pergi berlayar ke alam siber, tiada pula komputer dan sambungan internet di bilik itu. Hendak disiasat akan apa kegiatannya, tidaklah sesiapa dapat memasuki mahupun menjenguk ke bilik kebal itu dalam tempoh antara mentari merangkak masuk di ufuk barat dengan mentari merangkak keluar di ufuk timur.
Waima bilik itu sedia kebal, namun ditambah pula peraturan Kanun Negara yang menetapkan hukuman mandatori pancung leher sampai putus kepada sesiapa yang berani menceroboh masuk, waima hanya mendekati pintu dan tingkap dalam jarak tujuh hasta minimum. Dan peraturan Kanun ini diterima pakai kepada sesiapa sahaja, waima kepada senuhun Puteri Mary dan senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat sendiri.
Puteri Mary yang sudah agak kebosanan itu telah mengatur suatu rancangan nekad sewaktu berdarmawisata di negeri luar pada malam tiga likur yang lalu. Di Meja 17, Restoran eSastera, Puteri Mary telah berpakat setia dengan sintua Tukang Pateri Diraja dengan pakatan “biar pecah di perut, jangan pecah di mulut”. Mekanisme selak tingkap bilik kebal tempat Putera Joe bersunyi¬sunyian telah diterbalikkan supaya apabila ditarik dari dalam terbukalah ia keluar dan apabila ditarik dari luar, terbukalah ia ke dalam. Dan melalui pelarasan mekanisme selak itu, Puteri Mary, pada tengah malamnya, sebaik-baik jam berdenting 12 kali, telah berjaya membuka tingkap dan menyusup ke dalam bilik sang suami yang sedang bersunyi¬sunyian itu.
Wah, alangkah terperanjatnya si suami yang sedang tidur berdengkur… dan lagilah terperanjat si isteri yang sedang menyungkur.
Tidak terduga si isteri bahawa yang ditemuinya ialah suatu kegusaran besar yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran. Putera Joe yang dilihatnya pada ketika itu hanya dapat dikenalinya pada muka hensemnya. Semua bahagian lain tubuhnya
berbentuk raksasa yang amat mengerikan.
Dan muka yang comel hensem itu menangis teresak-esak apabila menyedari keadaan dirinya yang hodoh dan menggerunkan itu telah dilihat sendiri oleh isterinya yang jelita lagi tercinta, yang budiman lagi beriman.
ii
Waima apa yang berlaku dan terbongkar, hal perundangan perlu diselesaikan dahulu. Sintua Wazir Kanun Negeri perlu menjatuhkan hukuman setimpal kepada Puteri Mary yang telah melanggar ketetapan kanun Negara. Dia harus dipancung lehernya sehingga putus kerana menerobos masuk ke kawasan larangan tunggal di negeri Mengernakutilangsari.
“Beta amat mengasihi adinda senuhun Tuan Puteri, dan tidaklah wajar dia dipancung,” kata senuhun Putera Joe di balai rong seri.
“Beta amat mengasihi senuhun Tuan Puteri, dan tidaklah wajar dia dipancung,” kata senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat di balai rong seri.
“Tapi hukuman pancung sampai putus leher itu hukuman mandatori, Tuanku, ampun Tuanku berdua,” tegas Sintua Wazir Kanun Negeri.
“Apa tidak ada kekecualian dalam hal hukuman yang hendak dijatuhkan kepada Puteri Mary ini, wahai Sintua Wazir Kanun Negeri?” tanya senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat dan senuhun Putera Joe secara serentak.
“Tidak ada, Tuanku berdua,” jawab Sintua Wazir Kanun Negeri secara lurus, mengikut perundangan negeri.
Pada masa itu, senuhun Tuan Puteri Mary sedang dikurung pengawal di bilik pasung istana. Tangisannya mencairkan semua hati rakyat jelata yang mendengarnya. Namun tiada siapa yang dapat berbuat apa-apa mahupun berani berbuat apa-apa atas dasar kedaulatan kanun negeri.
“Sintua Wazir Kanun Negeri,” tiba-tiba senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat bersuara, “tahukah Sintua Wazir Kanun Negeri bahawa ada kanun di negeri ini yang membolehkan Sultan memecat mana-mana Sintua Wazir Kanun Negeri yang didapati sudah tidak layak memegang jawatannya kerana daya fikirnya sudah reput?”
“Patik ada pengetahuan tentang kanun itu, Tuanku.”
“Apa tidak ada kekecualian dalam hal hukuman yang hendak dijatuhkan kepada Puteri Mary ini, wahai Sintua Wazir Kanun Negeri?” tanya senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat sekali lagi.
“Tuanku,” kata Sintua Wazir Kanun Negeri, “pada pengetahuan patik, ada subseksyen kepada undang-undang kecil negeri yang, jika dibaca dengan teliti, membenarkan hukuman diringankan bagi orang perempuan, dan subseksyen kepada undang-undang kecil ini tentunya dapat diguna pakai untuk senuhun Puteri Mary. Senuhun boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup sahaja.”
“Apa tidak ada kekecualian lain lagi dalam hal hukuman yang hendak dijatuhkan kepada Puteri Mary ini, wahai Sintua Wazir Kanun Negeri?” tanya senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat sekali lagi.
“Tidak ada, Tuanku,” jawab Sintua Wazir Kanun Negeri secara lurus, mengikut perundangan negeri. “Setakat pengetahuan patik, hanya itulah satu-satunya kekecualian yang ada.”
“Sintua Wazir Kanun Negeri,” senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat bersuara lagi, “tahukah Sintua Wazir Kanun Negeri bahawa ada kanun di negeri ini yang membolehkan Sultan memenjarakan mana-mana Sintua Wazir Kanun Negeri serta anak bininya apabila didapati sudah tidak layak memegang jawatannya kerana daya fikirnya sudah tidak mencapai standard ISO yang berkaitan?”
“Patik ada pengetahuan tentang itu, Tuanku.”
“Apa tidak ada kekecualian dalam hal hukuman yang hendak dijatuhkan kepada Puteri Mary ini, wahai Sintua Wazir Kanun Negeri?” tanya senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat sekali lagi.
“Tuanku,” kata Sintua Wazir Kanun Negeri, “pada pengetahuan patik, ada satu subsubseksyen kepada subseksyen undang-undang kecil negeri yang membenarkan Sultan mengampunkan mana-mana orang salah yang diperkenankan oleh Sultan, dengan syarat mendapat persetujuan dari badan Kanun Negeri dan Sintua Wazir Kanun Negeri, ampun Tuanku.”
“Apa tidak ada kekecualian lain lagi dalam hal hukuman yang hendak dijatuhkan kepada Puteri Mary ini, wahai Sintua Wazir Kanun Negeri?” tanya senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat sekali lagi.
“Tidak ada, Tuanku,” jawab Sintua Wazir Kanun Negeri secara lurus, mengikut perundangan negeri. “Setakat pengetahuan patik, hanya itulah satu-satunya kekecualian yang ada.”
“Sintua Wazir Kanun Negeri,” senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat bersuara lagi, “tahukah Sintua Wazir Kanun Negeri bahawa ada peraturan di negeri ini yang membolehkan Sultan menjatuhkan hukuman pancung leher sehingga putus kepada mana-mana Sintua Wazir Kanun Negeri serta anak bininya apabila didapati sudah tidak layak
memegang jawatannya kerana daya fikirnya sudah
tidak mencapai standard ISO yang berkaitan dan
sudah melewati umur bergunanya?”
“Patik ada pengetahuan tentang itu, Tuanku.”
“Apa tidak ada kekecualian dalam hal hukuman yang hendak dijatuhkan kepada Puteri Mary ini, wahai Sintua Wazir Kanun Negeri?” tanya senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat sekali lagi.
“Tuanku,” kata Sintua Wazir Kanun Negeri, “pada pengetahuan patik, ada satu subsubseksyen kepada subsubseksyen kecil kepada subsubsubseksyen undang-undang kecil negeri yang, apabila ditafsir dengan lebih liberal, membenarkan Sultan sendirian mengampunkan mana-mana orang salah yang diperkenankan oleh Sultan tanpa mendapat persetujuan dari badan Kanun Negeri dan Sintua Wazir Kanun Negeri, ampun Tuanku.”
“Maka beta ampunkan Puteri Mary berasaskan undang-undang yang Sintua Wazir Kanun Negeri jelaskan itu tadi,” kata senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat.
“Ampun, Tuanku,” jawab Sintua Wazir Kanun Negeri. “Keputusan itu dilaksanakan segera.”
Maka Puteri Mary dibebaskan daripada segala tuduhan dan segala hukuman.
iii
“Kita perlu berfikiran positif,” tegas Puteri Mary.
Ayahanda tahu tentang sumpahan yang dikenakan oleh gemulah Bomoh Diraja Renta kepada kekanda Joe semasa kecilnya. Apa tidak dapat ayahanda mencari dukun dan bomoh dari ceruk rantau negeri untuk menawar sumpahan itu?”
Senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat terme¬nung sebentar mendengar saranan menantu kesayangannya itu. Mudah bunyinya. Panggil bomoh dan tawarkan sumpahan itu. Namun senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat ingat¬ingat lupa bahawa isunya tidak semudah itu. Dia sendiri tidak berapa pasti apa yang telah berlaku kerana semasa si kecil Putera Joharatnamufasirinalmukhalis dilahirkan, dia sendiri sedang di hutan berburu rusa. Sekembalinya dari hutan, telah diceritakan orang kepadanya bahawa gemulah Bomoh Negeri Renta telah dipanggil untuk merawat ibu dan anak yang baru lahir, yang kedua¬duanya berada dalam keadaan amat gering. Si ibu, Sultanah Ratnamuncikaribalaikamustakimadikara, telah meninggal dunia sementara Putera Joharatnamufasirinalmukhalis telah dijatuhkan sumpahan oleh gemulah Bomoh Diraja Renta.
Dan tidak ada orang yang berani menyarankan supaya dicari bomoh atau dukun untuk menawar sumpahan itu. Saranan daripada Puteri Mary ini ialah yang pertama dibuat. Senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat sendiri ragu-ragu apakah cadangan itu wajar dilaksanakan. Namun atas kasih sayang kedua-dua senuhun Putera Joe dan senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat terhadap Puteri Mary, cadangan itu diterima, lantas sintua Bomoh Diraja dan pasukannya dipanggil menghadap. Titahnya ialah “tawarkan sumpahan
itu atau leher dipancung sehingga putus!”
iv
Sintua Bomoh Diraja mulanya merayu supaya senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat, senuhun Putera Joe, dan senuhun Puteri Mary bersyukur sahaja dengan keadaan yang ada.
“Memang patik dan pasukan patik bersedia menawarkan sumpahan yang telah dikenakan kepada Putera Joe. Namun,” jelas Sintua Bomoh Diraja, “ada risiko jika hal itu dilakukan disebabkan sejarah sebenar sumpahan yang dikenakan kepada Putera Joe semasa kecilnya tidak diketahui dengan jelas.”
Apabila Sintua Bomoh Diraja menyalahkan senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat kerana sepatutnya mengambil berat tentang hal itu daripada bersibuk memburu rusa di hutan negeri, senuhun Sultan Mukhlisaidanialimiat naik murka lalu Sintua Bomoh Diraja dikenakan hukuman pancung sampai putus leher, maka mengikutlah dia akan nasib gemulah Bomoh Diraja Renta, dan Bomoh Diraja Muda pun dinaikkan pangkat untuk menggantikannya.
Sintua Bomoh Diraja yang baru naik pangkat itu pun menawari sumpahan yang ada pada tubuh jasad Putera Joe, yang telah dikenakan oleh gemulah Bomoh Diraja Renta, dengan memandikan Putera Joe dalam telaga tua yang airnya telah dijampi dan diserakkan ke dalamnya 77 jenis bunga wangi dari hutan negeri.
Lalu tertawarlah sumpahan itu… dan Putera Joe bertukar menjadi raksasa selama 24 jam sehari!
Maka barulah diceritakan oleh orang tua-tua negeri Mengernakutilangsari bahawa sebenarnya Putera Joe telah lahir sebagai raksasa akibat terkena badi rusa. Bomoh Diraja Renta telah dijemput untuk mengubatinya. Disebabkan penangan badi itu amat kuat, gemulah Bomoh Diraja Renta tidak berjaya mengubatinya. Namun atas kepakaran perbomohannya, Bomoh Diraja Renta telah berjaya mengenakan sumpahan kepada Putera Joe supaya dia bertukar menjadi manusia biasa pada waktu siang hari.

(Cereka sumpahan dipetik dari Episod 9 novel Meja 17 Edisi 4(Esastera Enterprise, 2016).

meja17-edisi4.frontCover-final-2