(sila KLIK untuk main video dan lagu)

Aku mahu berhenti menulis puisi
berhenti membelek dari pelik sisi
berhenti menggabung fikir dan emosi.

Aku mahu behenti menulis puisi
tidak lagi berciku-ciku cak dengan kata-kata
bermain alusi, metafora, dan similie
berselindung di sebalik imej, lambang, dan personifikasi.

Aku mahu behenti menulis puisi
meluah rasa dengan padat dan teliti
rima dan ritma sentiasa diakrabi
tema dan struktur diolah rapi.

Aku mahu behenti menulis puisi
lari dari ungkapan prismatis dan konkretisasi
bermelankolik dan romantis.

Aku mahu behenti menulis puisi
lari dari pengulangan aliterasi dan asonasi
bebaskan diri dari anafora dan epifora.

Aku mahu behenti menulis puisi
kususuri hidup dengan langkah tari tangan dan kaki
namun tersandung di minda dan hati
lantas tersedar aku rupanya
seluruh kehidupan itu sendiri
ialah sebuah puisi.

Irwan Abu Bakar
Kuala Lumpur, 14.06.2016